Thursday, December 9, 2010

Latar BeLaKanG ProGram

Pengenalan
“Karnival Wajadiri 1 Malaysia IPT PSSCM Kali Ke–4” adalah satu program anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Pendidikan Sultan Idris (PSSCM UPSI). Sebelum ini, Karnival Wajadiri IPT yang pertama telah dianjurkan oleh PSSCM Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Karnival Wajadiri IPT kali ke-2 telah di anjurkan oleh PSSCM British Malaysia Institute (BMI) dan diikuti oleh PSSCM UiTM. Kini tiba giliran PSSCM UPSI sebagai tuan rumah setelah mengharumkan nama dengan membawa pulang 2 pingat perak menerusi kategori pertama dan ketiga dan pingat gangsa bagi kategori keempat, malah pasukan PSSCM UPSI juga membawa pulang Piala Pasukan Harapan dan beroleh tempat Kedua bagi juara keseluruhan. Oleh yang demikian maka kali ini pihak PSSCM UPSI berasa berbangga kerana dapat menganjurkan Karnival Wajadiri 1 Malaysia IPT PSSCM Kali Ke-4.



Secara umumnya, kita dapat lihat bahawa banyak program yang berbentuk wajadiri diadakan, tetapi pada kali ini pihak PSSCM UPSI mengambil inisiatif untuk menjayakan program wajadiri khusus untuk kategori Silat Cekak bagi semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara. Objektif utama program ini diadakan adalah bagi melahirkan penuntut Silat Cekak di IPT yang berperwatakan dan berkebolehan dalam pelbagai lapangan berasaskan kepada sistem pendidikan wajadiri yang berteraskan kepada disiplin yang tinggi dan semangat berpasukan yang jitu.

Dengan adanya program yang berbentuk persilatan seperti ini dan melibatkan penuntut-penuntut di IPT ianya dapat mendidik para penuntut ke arah memartabatkan Silat Cekak dalam kalangan warga IPT Selain itu, program ini juga dapat memberi pengalaman dan pengetahuan kepada mahasiswa/i UPSI dalam penganjuran sesebuah majlis sebagai persediaan untuk bergelar seorang pendidik yang serba boleh kelak. Program ini akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam iaitu Ketua Menteri Melaka.



Objektif
Pelaksanaan program ini dirangka bagi mencapai beberapa objektif yang telah digariskan dalam memenuhi impian dan matlamat seperti yang tertera di muka surat sebelumnya. Objektif-objektif yang dimaksudkan adalah:-

Mewujudkan perhubungan yang sihat melalui interaksi yang terjalin di antara mahasiswa/i dari seluruh IPT yang terlibat.
Membuka ruang kepada mahasiswa/i dalam membina keyakinan diri sebagai bakal pendidik dan pemimpin yang mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap pengurusan program persatuan.
Menanamkan minat mahasiswa/i khususnya dan warga kampus amnya untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri.
Melahirkan warga kampus yang menghargai warisan budaya Melayu yang kini semakin dilupakan.
Mewujudkan semangat perpaduan melalui tema “Bersama dan Bersatu” dalam kalangan ahli persatuan.



Anjuran
Karnival Wajadiri 1 Malaysia IPT PSSCM Kali ke-4 Dan Majlis Makan Malam Perdana dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama :-
· JABATAN HAL EHWAL PELAJAR & ALUMNI UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
· PERSATUAN SENI SILAT CEKAK MALAYSIA (PSSCM)
· KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (KPT)
· KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN MALAYSIA (KBS )
· KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN (KEKWA)


~Read More...~

No comments:

Post a Comment